affiliate marketing the artificial life observer: PELIK !! LELAKI INI HILANG TEMPURUNG KEPALA SELEPAS KEMALANGAN

Saturday 7 April 2012

PELIK !! LELAKI INI HILANG TEMPURUNG KEPALA SELEPAS KEMALANGAN



PASIR MAS: Pelbagai gelaran diberikan terhadap dirinya, termasuk ‘makhluk asing’, namun, ia tidak mematahkan semangat Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Jalan Rantau Panjang Lama, dekat sini, untuk meneruskan kehidupannya.

Bayangkan, bahagian hadapan kepalanya yang berbeza berbanding insan normal menyebabkan ada kanak-kanak menangis apabila terserempak atau melihatnya dari dekat.


Bagaimanapun, di sebalik kekurangan itu, dia mempunyai daya ingatan yang sangat kuat dan mampu mendendangkan lagu Hindustan dengan baik walaupun rangkap dinyanyikan tidak sepenuhnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mampu menceritakan secara terperinci kemalangan menimpa dirinya tiga tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya dibuang doktor.


Dia yang membahasakan dirinya, Hisham berkata, kejadian pada tengah hari Jumaat pada 2009 merubah kehidupannya dalam sekelip mata.


Katanya, ketika itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuala Krai melalui Tanah Merah menuju Pasir Mas.

“Sebaik tiba di Kangkong, tiba-tiba, sebuah Honda Jazz dari arah Pasir Mas dipandu seorang warga Thailand cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun, gagal lalu bertembung motosikal saya.


“Akibat pertembungan itu, saya melayang ala ‘Superman’ sejauh dua meter dan melanggar sebatang pokok sebesar pemeluk di tepi jalan menyebabkan topi keledar dipakai terbelah dua. Akibat kemalangan itu, saya koma tiga bulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu,” katanya.

Katanya, sebaik sedar, dia hairan melihat pesakit lain termasuk pengunjung wad memandangnya, seolah-olah ada benda pelik berlaku ke atas dirinya.


“Saya meraba seluruh tubuh, namun, tiada yang ganjil sehinggalah saya memegang bahagian atas kepala dan terkejut apabila ada lekuk besar di situ.


“Saya minta ibu yang berada di sisi katil menghulurkan cermin dan sebaik memandang cermin, saya hampir ‘hilang akal’ kerana tidak menyangka kepala yang sebelum ini sempurna, kini cacat,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik ditenangkan ibunya, Shamsiah Yatim, 57 dan ayahnya, Muhamad Mohd Noor, 52, barulah dia akur serta pasrah dengan takdir Ilahi.


Selain kehilangan separuh tempurung kepala, Hisham turut juling mata kirinya, namun, mengakui penglihatannya masih jelas.



Menurutnya, pertama kali keluar rumahnya sebaik dibenarkan pulang dari hospital, dia panik apabila anak jiran menangis ketakutan sebaik melihat kepalanya.


“Ketika itu, kepala saya botak menyebabkan ketiadaan tempurung kepala itu boleh dilihat dengan jelas,” katanya yang terkenal dengan gelaran Hisham Lekuk.


Mengenai kos rawatan bagi menggantikan tempurung kepalanya, Hisham menjelaskan, ibu bapanya yang bekerja kampung tidak mampu membiayainya kerana kos pembedahan agak tinggi iaitu antara RM8,000 hingga RM12,000, tidak termasuk kos perubatan.


Sehubungan itu, Hisham merayu sesiapa yang ingin membantunya boleh menghubungi ayahnya menerusi talian 017-9335461.

SUMBER

P/s :bersyukurlah kita kerana sempurna,dan jagalah pemberian Allah sebaiknya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...