affiliate marketing the artificial life observer: ALLAHUAKBAR !! Gadis Disergah Harimau Meninggal

Thursday 26 April 2012

ALLAHUAKBAR !! Gadis Disergah Harimau Meninggal



KUALA KANGSAR – Seorang remaja perempuan yang berdepan detik ngeri apabila ‘disergah’ dua harimau ketika mengikuti ibunya menoreh getah pada 15 Januari lalu, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, petang kelmarin dipercayai akibat trauma melampau.

Mastura Kamaruddin, 16, sebelum ini dikatakan mengalami trauma berpanjangan sejak kejadian itu hingga dia gagal menghadiri sesi persekolahan.

Sejak insiden itu, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Kati, Kati, di sini, dikatakan sering termenung, sukar tidur dan hilang selera makan.

Kedua-dua kakinya dijangkiti kuman akibat terpijak duri rotan ketika lari menyelamatkan diri daripada dikejar harimau berkenaan.

Arwah juga hanya bersekolah seminggu selepas kejadian itu sebelum terlantar sakit di rumah keluarganya di Kampung Chuar Hilir, di sini.

Dalam kejadian itu, arwah bersama ibunya, Rohani Osman, 50 terpaksa melalui pengalaman menakutkan apabila terserempak dengan dua harimau dewasa ketika menoreh getah berhampiran kawasan jirat Cina lama berdekatan Hutan Simpan Bintang Hijau, di sini.

Dua beranak itu terpaksa berjalan mengundur hampir dua kilometer selepas diekori dan cuba dibaham dua harimau dewasa berkenaan sebelum diselamatkan penduduk kampung dua jam kemudian selepas bersembunyi di atas pokok.

Rohani berkata, hampir 10 pakar perubatan tradisional dan Islam yang dirujuk mengatakan arwah anaknya berdepan gangguan makhluk halus atau terkena ‘badi’ harimau selepas kejadian itu.

Rohani yang ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap dan trauma melampau dialami arwah sebelum ini menjadi petanda pemergiannya.

Bliau berkata, dia bersama suaminya, Kamaruddin Jene, 52, reda dengan apa yang berlaku biarpun dia sendiri masih ‘dibayangi’ wajah pak belang yang cuba membahamnya itu.

“Beberapa minggu sebelum kematiannya, arwah pernah berpesan kepada saya dan suami supaya tidak lagi keluar menoreh kerana bimbang menerima nasib sepertinya.

“Seminggu selepas kejadian ngeri itu, arwah menunjukkan perubahan sikap yang ketara selain banyak menyendiri dan kurang bercakap. Arwah mungkin terkena ‘badi’ pak belang itu selain dirinya yang mudah lemah semangat,” katanya.

Menurutnya, pada Februari lalu, tahap kesihatannya bertambah teruk sehingga terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, selepas menerima rawatan di dua hospital berkenaan, keadaan arwah tidak banyak berubah dan doktor mengesahkan darahnya dicemari kuman serta merebak ke bahagian pinggang ke bawah.

Rohani berkata, arwah terpaksa dikejarkan ke HRPB pada 13 April lalu selepas demam panas sebelum doktor mengesahkan kuman berkenaan merebak ke bahagian otaknya.

“Beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah langsung tidak boleh bercakap malah, doktor mengesahkan sebahagian tubuhnya dari pinggang ke bawah lumpuh,” katanya.

Jenazah Mastura dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chuar Hulu, di sini, semalam. - myMetro Online

1 comments:

  1. Itu nampaknya bukan mati akibat disergah, tapi mati akibat bisa dari duri dan seterusnya mengalami keracunan darah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...