affiliate marketing the artificial life observer: COOL !! ROVIO AKAN MEMBINA TAMAN TEMA ANGRY BIRDS

Thursday, 22 March 2012

COOL !! ROVIO AKAN MEMBINA TAMAN TEMA ANGRY BIRDS




ROVIO, syarikat yang menghasilkan permainan Angry Birds bekerjasama dengan peruncit utama AS untuk menjual barangannya dan merancang untuk membuka taman tema di Britain dalam usaha untuk meluaskan permainan mudah alih menjadi jenama ala Disney.


Ketua Pemasaran bagi syarikat dari Finland yang menghasilkan permainan paling banyak dimuat turun, Peter Vesterbacka, berkata Rovio tidak hanya dilihat sebagai syarikat permainan, malah sebagai jenama hiburan.
“Kami mahu menjadikan Angry Birds sebagai sebahagian daripada satu budaya pop yang kekal,” katanya dalam satu temubual di London yang turut membandingkan dengan jenama Sanrio iaitu Hello Kitty atau Nintendo Mario.


“Kami baru saja bermula,” tambahnya.
Angry Birds, permainan mudah alih melastik burung, dimuat turun lebih daripada 700 juta kali dan menjadi permainan paling pantas berkembang di Facebook.
Profil Rovio meningkat mendadak tahun lalu dengan menumpang permainan animasi hit dari filem Rio yang dihasilkan 20th Century Fox, News Corp.
Nilai syarikat itu dianggarkan mencecah AS$9 bilion, tinggi sedikit berbanding dua tahun lalu iaitu selepas Angry Birds mula dikeluarkan untuk iPhone.
“Ia adalah tekaan terbaik,” kata Vesterbacka yang membandingkan Rovio dengan pembuat permainan Facebook, Zynga yang menjadi syarikat awam pada Disember dengan nilai pasaran sebanyak AS$9.6 bilion.


Kini, Rovio memeterai perjanjian dengan peruncit utama AS untuk memasarkan alat mainan, buku dan kemeja-T di beribu kedai di seluruh negara, selaras dengan pelancaran permainan Angry Birds Space terbaru minggu ini.



Syarikat itu turut merancang untuk membuka kedai runcitnya di China tidak lama lagi.
Rovio enggan memberitahu nama peruncit AS itu sebelum membuat pengumuman rasmi mengenainya, namun begitu berkata, ia akan menjadi kerjasama terbesar berbanding pakatan sedia ada iaitu Barnes & Noble, yang mana pelawat yang melawat kedai terbabit boleh mengambil kredit permainan secara percuma.
Rovio juga berkata, ia merancang untuk melancarkan taman tema aktiviti di Britain yang menjadi pasaran asal untuk permainan Angry Birds dan pasaran pertama luar dari Finland. Asia akan menjadi lokasi berikutnya.

Taman tema yang mana akan dibina secara perkongsian dengan pembuat peralatan taman permainan di Finland, Lappset, akan menampilkan buai yang diilhamkan dari Angry Birds, petak pasir, menara pendaki, gelungsur dan permainan arked luar.
“Kami tidak mampu untuk melabur berbilion untuk taman tema. Kami adalah syarikat kecil dari negara kecil,” kata Vesterbacka.



Rovio memiliki kira-kira 300 pekerja, meningkat sejak 50 tahun lalu dan terpaksa berpindah dari pusat Helsinki ke ibu pejabat baru lebih besar bersebelahan dengan pembuat telefon mudah alih Nokia.
Vesterbacka mengulangi bahawa Rovio tidak tergesa-gesa menjadi syarikat senaraian awam. Pembiayaan terakhir yang diperoleh adalah tahun lalu, iaitu sebanyak AS$42 juta menerusi modal teroka firma Accel, Atomico dan Felicis Ventures.


Beliau berkata, Rovio tidak memerlukan wang dan menaikkan modal utamanya untuk menarik pelaburnya seperti pengasas Atomico, Niklas Zennstrom yang juga Pengasas Bersama Skype.
“Tahun 2012 adalah yang paling sibuk. Ia seperti tahun lalu yang mana kami membina infrastruktur. Kami boleh membiayai sendiri pertumbuhan Rovio,” katanya-Reuters

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...