Friday, 23 March 2012
ALHAMDULILLAH !! AKHIRNYA Qi Cari Masa Sesuai Meminang Yuna
KUALA LUMPUR, 23 MAC 2012: Bagi mereka yang mengikuti perkembangan berita hiburan tempatan pasti sudah mengetahui hubungan cinta antara penyanyi wanita terkenal, Yuna bersama pengacara yang kini galak menjinakkan diri dalam bidang lakonan iaitu Qushairi Razali atau lebih dikenali dengan Qi.
Hubungan cinta yang sudah mencecah usia dua tahun itu ternyata diterima baik oleh para peminat kedua-dua selebriti terkenal ini.
Mereka juga tidak pernah dilanda kontroversi apatah lagi masing-masing sibuk mengejar cita-cita masing-masing.
Berkesempatan bertemu Qi yang menemani Yuna ketika majlis pelancaran kolaborasi Yuna dan Samsung Malaysia untuk The Sparkle Project, memberi kesempatan portal murai.com.my menemuramah jejaka berkenaan yang setia menanti kekasihnya itu menghabiskan sesi fotografi.
Bertanyakan hala tuju hubungan cinta mereka, Qi dengan tenang menjawab persoalan yang diajukan kepadanya dan memberitahu mempunyai rancangan untuk berumahtangga.
"Umur saya sudah meningkat. Pernah juga terfikir untuk menamatkan zaman bujang tetapi masing-masing sibuk dan kami berdua belum menetapkan waktu atau tempoh untuk kami mengakhiri zaman solo.
"Tetapi jika diizinkanNya dalam setahun dua ini saya akan cari masa yang sesuai untuk meminang Yuna.
"Niat itu sudah lama ada, cuma masa yang sesuai belum sampai," antara petikan jawapan yang diberikan Qi jujur.
Hubungan yang terpisah beribu batu dan jarak masa yang jauh bagaimanapun tidak menghalang mereka untuk terus berhubung.
Menurut Qi, paling kurang sehari sekali mereka akan berhubung tidak kiralah melalui panggilan telefon mahupun internet.
"Dugaan itu sudah semestinya. Apatah lagi masa tidak sama. Kadang-kadang saya baru balik kerja Yuna baru bangun tidur, tapi kemudahan sudah tersedia jadi kami gunakan untuk berhubung.
"Selalunya Skype menjadi medium kami berhubung dan tidak ketinggalan juga panggilan telefon.
"Paling tidak, dalam sehari mesti sekali bertanya khabar itu sudah cukup untuk melepas rindu.
"Saya tidak menggangap hubungan seperti ini susah kerana saya tahu Yuna berada di sana adalah untuk mengejar cita-cita yang diimpikan selama ini.
"Peranan saya adalah untuk memberi sokongan penuh terhadap minatnya itu," ujar Qi lagi.
Qi yang juga bekas pemain drum kumpulan rock alternative OAG, memandang aktiviti seni Yuna dengan begitu positif dan merasakan ia perkembangan yang sihat setelah melihat karya yang terhasil punya kualiti yang tersendiri.
Qi yang sering dilihat menjadi pengemudi rancangan televisyen kini menunjukkan minat dalam bidang lakonan dan sibuk berlakon dalam telemovie dan siri televisyen yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
SUMBER
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment