Monday, 4 June 2012
Chef Wan Membuka Restoran Pertama Di Singapura
PETALING JAYA: Chef selebriti terkenal Datuk Mohd Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan bakal membuka sebuah restoran di Singapura atas desakan rakan-rakan.
Chef Wan berkata, restoran tersebut yang diberi nama Chef Wan In Style bakal dibuka di Plaza Singapura, Orchard Road, September depan.
"Asalnya nak buka di Kuala Lumpur tetapi tidak jumpa lokasi yang sesuai serta menepati idea dan konsep yang ingin saya buat iaitu seperti sebuah bazar yang penuh dengan makanan.
"Apabila ada pihak di Singapura menawarkan saya sebuah premis yang besar iaitu kira-kira 14,000 kaki persegi dan boleh memuatkan 400 orang pada satu-satu masa, saya fikir ia adalah tempat sesuai untuk memulakan perniagaan.
"Lagi pun saya dah letih asyik kena desak oleh rakan-rakan dan peminat yang mahu saya membuka sebuah restoran dan akhirnya saya mengalah.
"Walaupun tidak tahu bagaimana ingin membahagikan masa di restoran itu nanti, tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik kepada pelanggan dengan menyajikan pelbagai makanan enak untuk mereka," katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, makanan yang bakal disediakan nanti bukan hanya terhad kepada masakan Melayu semata-mata tetapi akan menghidangkan lebih 100 jenis masakan dari seluruh negara Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dia sendiri telah menyusun menu-menu untuk restorannya dan akan mendapatkan chef terbaik dari seluruh Asia Tenggara.
Chef Wan berkata, selain menu yang sesuai pihaknya juga akan memastikan makanan yang disediakan adalah halal dan boleh dinikmati oleh semua golongan.
"Apa yang lebih penting ia makanan halal yang saya sajikan selain mampu menarik minat semua pengunjung dari seluruh dunia.
"Sekarang ini saya cuma pening untuk menyusun menu supaya tidak tertinggal apa-apa yang penting," katanya lagi.
Dalam pada itu, Chef Wan turut mengesahkan bahawa anak lelakinya iaitu Mohd Nadzri Redzuwan (Chef Riz) akan turut terlibat a menguruskan restoran itu nanti.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan mendapat sambutan pelanggan saya turut merancang untuk membuka sebuah cawangan lagi di Jakarta, Indonesia dan juga Malaysia," ujar beliau.
sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment